Search This Blog

Loading...

Tuesday, October 4, 2016

Pegawai GLC kumpul kekayaan RM50j ditahan


WARTAWAN SINAR HARIAN
4 OKTOBER 2016


SHAH ALAM - Dua pegawai kanan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan tersebut kepada sanak saudara mereka.

Kedua-duanya yang berusia 54 dan 51 itu ditahan di pejabat mereka di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pada jam 9.15 pagi tadi.

Turut dirampas wang tunai bernilai lebih kurang RM3 juta yang disimpan dalam peti besi di pejabat salah seorang pegawai kanan tersebut.

Menurut sumber, kedua-dua pegawai kanan yang berjawatan pengarah dan timbalan pengarah di jabatan kerajaaan yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion sejak tahun 2010 itu telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Hasil penyalahgunaan kuasa ini yang dipercayai bermula sejak tahun 2010 hingga kini, siasatan awal mempercayai mereka telah mengumpul harta kekayaan melebihi RM50 juta.

Tambah sumber, peruntukan RM3.3 bilion ini hanya merupakan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan dan tidak termasuk peruntukan kerajaan negeri.

Beberapa siri serbuan telah dibuat SPRM di beberapa tempat termasuk agensi terbabit dan syarikat-syarikat kontraktor yang terlibat.

Perbuatan mereka ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi telah menutup periuk nasi puluhan kontraktor-kontraktor lain yang langsung tidak diberikan peluang untuk memasuki tender agensi terbabit.

Mereka disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Dato’ Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment