Search This Blog

Loading...

Monday, October 10, 2016

Nilai 127 geran tanah dianggar RM30j




BERNAMA
Kota Kinabalu: Nilai 127 geran tanah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah yang ditahan pada 4 Oktober lalu, dianggar RM30 juta.

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berkata, antara geran tanah itu termasuk berstatus tanah perumahan, pertanian dan juga komersial di beberapa lokasi di Sabah.

"SPRM juga menerima maklumat berhubung beberapa akaun bank milik kedua-dua suspek (pengarah dan timbalan pengarah jabatan kerajaan itu) di tiga negara dan siasatan mendapati lebih RM30 juta dipindahkan ke akaun-akaun mereka.


"Maklumat awal mendapati pengarah itu memindahkan kira-kira RM1 juta ke akaunnya di luar negara manakala bakinya milik timbalan pengarah," kata sumber itu di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut sumber berkenaan, setakat hari ini, SPRM merakam percakapan 40 saksi berhubung siasatan 'ops water'.

Menurutnya mereka yang dirakam percakapan hari ini adalah anggota keluarga timbalan pengarah itu, pekerja beberapa syarikat dipercayai terbabit secara langsung dalam projek infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion.

Sumber berkenaan juga menyebut SPRM dijangka memohon menyambung reman kesemua suspek yang tempoh reman mereka tamat esok.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat itu namun enggan mengulas lanjut.

Pada 4 Oktober lalu, SPRM menahan pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan di sini serta merampas RM114.5 juta daripada mereka, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur..
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 7:59 PM

No comments:

Post a Comment