Search This Blog

Loading...

Thursday, October 6, 2016

Nelayan ditahan ancam tembak anak tiri gara-gara ayam laga


SHARILFUDDIN SAARI  |  06 Oktober 2016 2:07 PM

[VIDEO] Nelayan ditahan ancam tembak anak tiri gara-gara ayam laga

[VIDEO] Nelayan ditahan ancam tembak anak tiri gara-gara ayam laga
Ketua Polis Perlis, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab menunjukkan sepucuk pistol jenis Colt Super .38 yang dirampas dari seorang suspek warga Thailand dalam satu kes pergaduhan di Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis kira-kira pukul lima petang pada 29 September lalu selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perlis hari ini. - UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli.
KANGAR 6 Okt. - Dek kerana berang dengan bekas anak tirinya yang mendesaknya memulangkan seekor ayam laga, seorang nelayan warga Thailand di Kuala Perlis, mengancam untuk menembak pemuda itu dengan sepucuk pistol pada 29 September lalu.
Dalam kejadian di Kampung Bukit Tok Po, kira-kira pukul 5 petang itu, berlaku pergaduhan antara suspek berusia 46 tahun dan mangsa berusia 22 tahun yang juga bekerja sebagai nelayan.
Berdasarkan siasatan awal, suspek telah mengambil seekor ayam laga milik mangsa tanpa pengetahuannya beberapa hari sebelum kejadian.
Suspek telah berkahwin dengan ibu mangsa selama lapan tahun namun bercerai tiga bulan lalu.
Berikutan aduan diterima, sepasukan polis yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Kuala Perlis, Inspektor Syahril Anuar Zulkeple telah memberkas suspek di sebuah pelantar bot di Kampung Tanah Baru, tidak jauh dari tempat kejadian.
Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan sering berulang-alik ke Puju, Thailand dipercayai hendak melarikan diri dengan sebuah bot miliknya.
Berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan menemukan sepucuk pistol jenis Colt Super .38 Auto bersama satu kelopak peluru manakala sebutir peluru ditemukan di dalam laras, poket seluar suspek (sebutir) dan tempat kejadian (sebutir).
Hasil soal siasat, suspek mendakwa pistol itu dibeli dengan harga RM1,600 di negara jiran tersebut dan digunakan untuk melindungi diri kerana pernah diserang lanun.
Ketua Polis negeri, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab dalam sidang akhbar hari ini memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Ab. Rashid turut memberitahu, polis kontinjen tersebut yakin dapat melumpuhkan satu kumpulan curi kenderaan dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam serbuan di sebuah bengkel haram di Chuping dekat sini, dan sebuah rumah di Sanglang, pada 28 September lalu.
Kata beliau, turut dirampas enam buah kereta termasuk empat daripadanya dilaporkan hilang di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang kesemuanya bernilai hampir RM200,000.
"Pada masa sama, polis memburu lima lagi rakannya bagi membantu siasatan," katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/nelayan-ditahan-ancam-tembak-anak-tiri-gara-gara-ayam-laga-1.391385#sthash.I64Sk7va.dpuf

No comments:

Post a Comment