Search This Blog

Loading...

Thursday, October 6, 2016

Lihat tedung bertarung




Ular tedung yang ditangkap. FOTO ihsan APM Kedah


Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my

Alor Setar: Penghantar pizza tergamam melihat dua ular tedung bertarung di kawasan lapang di belakang rumahnya di Kampung Kubang Lintah, Mukim Lepai, di sini, 3.30 petang tadi.

Kemunculan dua reptilia berbisa sepanjang empat meter itu mulanya disedari oleh kakaknya yang menjerit meminta tolong ketika mahu mengambil wuduk di paip air di luar rumah.

Nazrin Ahmad, 27, berkata, dia sedang mandi ketika itu apabila kakaknya, Nor Azah Ahmad, 40, secara tiba-tiba menjerit meminta tolong sambil masuk ke dalam rumah.

"Saya yang baru selesai mandi terkejut dengan jeritan kakak kerana menyangka dia terjatuh sebelum diberitahu ada dua ular berlawan di belakang rumahya ketika dihubungi oleh Harian Metro, sebentar tadi.

Nazrin berkata, dia pergi memeriksa dan mendapati dua ular tedung bertarung berhampiran kawasan semak di belakang rumahnya.

Katanya, bimbang kejadian buruk berlaku dia menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)negeri untuk bantuan menangkap ular berkenaan.

"Apabila memeriksa semula di belakang rumah, didapati seekor ular cedera dan melarikan diri ke semak, manakala seekor lagi berlegar di belakang rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kota Setar, Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Zain Bahrum berkata, sebaik menerima maklumat pada jam, 3.42 petang, enam anggota APM termasuk seorang pegawai dikejarkan ke tempat kejadian untuk menangkap ular itu.

"Usaha menangkap dibuat berhati-hati kerana reptilia itu dikesan cuba merayap semula ke dalam semak berhampiran manakala seekor sudah hilang.

"Ular itu akhirnya berjaya ditangkap dalam tempoh 10 minit," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 9:50 PM

No comments:

Post a Comment