Search This Blog

Loading...

Monday, October 3, 2016

Lelaki mengamuk bunuh adik, ibu saudara


Suspek sakit mental anggap adik yang lumpuh sebagai menyusahkan
JAMLIAH ABDULLAH
DAN NORLIA RAMLI  |  03 Oktober 2016 1:07 AM

Suspek (kepala ditutup dengan kain batik) dibawa oleh anggota


Suspek (kepala ditutup dengan kain batik) dibawa oleh anggota polis dari tempat kejadian amuk di Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling, Kedah, semalam. UTUSAN/ismail kamadin
BALING 2 Okt. - Hang (kamu) ni menyusahkan kami!
Itu ungkapan seorang lelaki sebelum dipercayai bertindak di luar kewarasan apabila mengamuk lalu memukul hingga mati adiknya yang lumpuh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi di Kampung Lanai, Parit Panjang dekat sini, lelaki itu turut membunuh ibu saudara yang cuba menenangkannya.
Kejadian itu merupakan yang terbaharu di negara ini seolah-olah kes amuk tidak ada kesudahannya, sekali gus menuntut pihak berkuasa untuk memberi perhatian terhadap rawatan dalam kalangan pesakit mental.
Kejadian bermula apabila lelaki itu yang dipercayai menghidap masalah mental dipercayai memukul adiknya, Mohd. Azwan Wahab, 26, dengan kayu pe­ngukur kelapa dan batu bata di ruang tamu rumah.
Lebih memilukan, Mohd. Azwan tidak terdaya melawan tindakan abangnya itu kerana dia lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan sejak empat bulan lalu.
Ibu saudara mereka, Rokiah Abdullah, 54, yang tinggal di rumah berdekatan dan terdengar suara bising cuba mententeramkan suspek, namun menerima ‘balasan’ sama apabila dipukul di muka oleh suspek menggunakan batu-bata hingga maut dan mayatnya ditemukan di luar rumah.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian kemudiannya membantu menangkap suspek yang berusia 32 tahun itu sebelum mengikatnya pada sebatang pokok nangka di hadapan rumah dan melaporkan kejadian kepada polis.
Sementara itu, ibu mangsa, Che Piah Shafie, 66, berkata, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara kedua-dua anaknya itu dan suspek merungut adiknya yang lumpuh hanya menyusahkan mereka.
Wanita itu memberitahu, suspek sering ke hospital bagi mendapatkan ubat dan baharu sahaja mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani semalam.
Sementara itu, kakak suspek, Zurina Wahab, 39, berkata, dia terdengar kedua-dua adiknya bergaduh sebelum melihat si abang memukul Mohd. Azwan.
“Kejadian berlaku pantas apabila dia mengambil pengukur kelapa lalu memukul adik di katilnya. Saya takut dengan amukan itu berlari keluar membawa bayi saya untuk minta bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Shariffudin Yusof ketika dihubungi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengakui memukul mang­sa setelah mendakwa terdengar bisikan bunuh.
“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air ken­cing juga negatif dadah. Namun suspek pernah menjalani rawatan sakit mental di Hospital Baling sebanyak dua kali dan sekali di HSAH.
“Suspek juga mempunyai kad rawatan hospital sejak empat tahun lepas. Barang-barang yang dirampas terdiri daripada senjata yang digunakan adalah seketul bata yang terdapat kesan darah, sebatang kayu, satu seterika, satu mata pemarut kelapa serta serpihan kayu alat pemarut kelapa,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-mengamuk-bunuh-adik-ibu-saudara-1.390051#sthash.aVJ2Q1s3.dpuf

No comments:

Post a Comment