Search This Blog

Loading...

Friday, October 7, 2016

Lelaki bawa 200 paket heroin ditahan


7 OKTOBER 2016

pdrm
GEORGETOWN - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan di sebuah flat di Paya Terubong di sini, dan polis turut merampas 200 paket heroin daripadanya, semalam.

Lelaki berusia 53 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah itu ditahan dihadapan rumahnya pada jam 12.30 tengah hari dan hasil pemeriksaan polis menemui 200 paket plastik berisi serbuk dan ketulan dadah di dalam kotak yang dibawanya.

"Dadah seberat 420 gram itu bernilai RM12,600. Polis percaya ia baru selesai dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis percaya lelaki yang merupakan anggota sindiket  pengedaran dadah di Pulau Pinang itu mendapat bekalan dalam kuantiti besar sebelum membungkusnya semula dan menjualnya dengan harga RM50 setiap paket.

Lelaki yang positif dadah itu dipercayai aktif dalam pengedaran dadah di sekitar negeri ini sejak enam bulan lepas, katanya.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun parah manakala rakannya yang berusia 13 tahun cedera ringan selepas dipukul dan disamun di Taman Lip Sin di sini, semalam.

Mior Faridalatrash berkata pelajar tingkatan satu dan remaja yang tidak lagi bersekolah itu dilapor ditarik ke dalam sebuah kereta dinaiki enam lelaki ketika berjalan di kawasan tersebut pada jam 1.41 tengah hari.

"Mereka dipukul dan lelaki-lelaki terbabit turut menyamun jam tangan dan rantai leher seorang daripada remaja itu sebelum meninggalkan mereka di tepi jalan di kawasan sama," katanya.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti enam lelaki berusia 20-an yang disyaki terbabit dalam kejadian itu dan usaha memburu mereka giat dijalankan.

Remaja yang parah itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment