Search This Blog

Loading...

Saturday, October 8, 2016

Kereta Rempuh 11 Kenderaan, Tiga Pengunjung Pasar Malam Cedera


Diterbitkan: Sabtu, 8 Oktober 2016 2:29 PM

Sebahagian kenderaan yang dirempuh kereta dalam kejadian di pasar malam Ampang Jajar, Jumaat.

BUTTERWORTH: Tiga lelaki cedera termasuk seorang parah manakala tujuh motosikal dan empat kereta rosak selepas dilanggar kereta Perodua Axia yang terbabas di pasar malam Ampang Jajar di Jalan Permatang Pauh di sini, Jumaat malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, kereta dipandu seorang lelaki berusia 67 tahun dari Permatang Pauh menghala ke Taman Arowana, telah melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintas. 
"Selepas melanggar pejalan kaki berusia 38 tahun itu, kereta berkenaan terbabas sebelum melanggar sebuah kereta dari arah bertentangan dan seterusnya merempuh tujuh motosikal serta tiga kereta yang diletakkan di bahu jalan di pasar malam tersebut," katanya di sini, Sabtu. 
Ekoran kejadian itu, katanya, pejalan kaki berkenaan cedera parah di kepala manakala dua lelaki yang berada di atas motosikal yang diletakkan di tepi jalan tersebut turut mengalami kecederaan.
Beliau berkata pemandu kereta Perodua Axia itu turut cedera dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.
"Dua lelaki menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala pejalan kaki yang cedera parah di kepala dan badan serta warga emas yang memandu kereta Proton Axia dirawat di HSJ dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya. 
Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati pemandu yang melanggar pejalan kaki dan 11 kenderaan itu tidak mabuk dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mencari punca sebenar kemalangan berkenaan.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seorang pengunjung pasar malam itu, Mohd Sharif Abdul Razak, 36, berkata semasa kejadian beliau sedang berjalan ke arah motosikalnya sebelum ternampak kereta tersebut melanggar pejalan kaki sebelum terbabas ke arah tempat letak motosikal di bahu jalan.
"Motosikal saya turut dirempuh dalam kemalangan itu dan rosak teruk tetapi nasib baik saya sempat lari menyelamatkan diri. Orang ramai yang melihat kejadian itu membantu pejalan kaki dan pemandu kereta Perodua Axia berkenaan," katanya.-- Bernama

No comments:

Post a Comment