Search This Blog

Loading...

Wednesday, October 5, 2016

Kegiatan curi kelapa sawit tumpas


WARTAWAN SINAR HARIAN
5 OKTOBER 2016
Kegiatan curi kelapa sawit tumpas

Kegiatan curi kelapa sawit tumpas Lori dengan muatan kelapa sawit yang dicuri daripada ladang di Batu 18, Kahang.
KLUANG - Kegiatan enam lelaki mencuri kelapa sawit di sekitar Batu 18, Kahang, dekat sini, akhirnya tumpas.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Mohamad Laham berkata, aktiviti enam lelaki berusia antara 29 hingga 61 tahun itu berjaya dihidu pemilik ladang lalu membuat laporan polis pada 1 Oktober kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Siasatan Jenayah Kluang dibantu anggota Balai Polis Kahang membuat serbuan di ladang berkenaan pada hari yang sama kira-kira jam 5.30 petang.

“Aktiviti mencuri kelapa sawit yang dijalankan kumpulan terbabit dipercayai dilakukan sejak tiga bulan lalu namun gagal dikesan kerana sering berpindah lokasi.

“Dengan menggunakan lori, kumpulan tersebut boleh membawa sehingga lima tan kelapa sawit dan dijual ke pusat pengumpulan berdekatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Mohamad berkata, dengan tertangkapnya enam lelaki terbabit, pihaknya turut berjaya merampas empat lori, lima tan kelapa sawit, 60 kilogram biji kelapa sawit yang telah lerai, lapan besi penyangkut buah dan sebuah motosikal Honda EX5.

Katanya, semua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM350,000.

“Kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga mendapati mereka bebas dadah, kenderaan yang dirampas juga tidak mempunyai laporan hilang.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 397/447 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 5 Oktober (hari ini) untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut Mohamad, berdasarkan rekod di daerah ini, hanya lima kes kecurian buah sawit dilaporkan.

 Bagaimanapun, pihaknya percaya banyak kejadian yang tidak dilaporkan kerana kebiasaannya pekebun akan mengambil tindakan pencegahan sendiri.

Justeru, beliau menasihatkan pemilik ladang atau kebun sawit agar melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat kejadian seumpama ini.

No comments:

Post a Comment