Search This Blog

Loading...

Monday, October 3, 2016

Kediaman dipecah masuk, guru kerugian RM160,000

JENAYAH AHAD, 2 OKTOBER 2016 @ 11:22 PM

Oleh Attirmidzie Rahman bhkb@bh.com.my

KOTA BHARU: Seorang guru kerugian RM160,000 selepas kenderaan jenis Peugeot 408 serta barang berharga dilarikan perompak, yang memecah masuk kediamannya di Taman Impiana, Pengkalan Chepa, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Azian Hashim, 42, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus keluar bersama isterinya untuk membeli makanan. Azian berkata, ketika kejadian dua anaknya berada di rumah sebelum didatangi seorang perompak yang meminta kunci kenderaan serta barang berharga.

 "Saya dan isteri waktu itu sedang keluar untuk membeli makanan manakala anak-anak ada di rumah, beberapa minit apabila saya tiba di rumah, saya lihat kereta sudah tiada di garaj rumah.

 "Berdasarkan cerita anak saya, perompak memasuki rumah kami dan menggeledah rumah sebelum meminta kunci kereta.

 "Akibat terlalu takut, anak saya menyerahkan kunci kereta berkenaan dan perompak itu terus melarikan diri bersama kereta kami dan barangan berharga," katanya ketika dihubungi. Azian berkata, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM160,000 termasuk barang kemas, komputer riba dan wang tunai yang ada dalam kenderaan itu.

 "Saya meminta orang ramai yang melihat atau menyedari kenderaan saya supaya memaklumkan kepada polis. Kereta itu baru dua tahun saya beli dengan harga RM120,000" katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. "Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kereta itu diminta segera menghubungi polis atau datang ke balai polis berhampiran," katanya

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198325

No comments:

Post a Comment