Search This Blog

Loading...

Sunday, October 30, 2016

Geng Toyol Matmat tumpas




Antara barangan curi yang ditemui semula daripada suspek selepas polis menahan sembilan remaja berusia antara 10 dan 14 tahun yang terbabit dalam kes pecah rumah sekitar Langkawi. FOTO ihsan PDRM


h Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Polis menumpaskan geng Toyol Matmat selepas menahan sembilan remaja lelaki, dipercayai terbabit tidak kurang empat kes pecah rumah di daerah ini sejak awal tahun ini.

Kumpulan pecah rumah cilik itu dianggotai sembilan remaja lelaki berusia antara 10 dan 14 tahun dengan lima daripadanya masih bersekolah iaitu tiga pelajar sekolah menengah, manakala dua sekolah rendah.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, kumpulan itu diketuai remaja berusia 14 tahun dan semua mereka ditahan pada hari sama kelmarin.

Beliau berkata, pada tangkapan pertama polis menahan tiga remaja lelaki berusia antara 11 dan 14 tahun kerana terbabit dalam kes pecah rumah di Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat di sini.

"Hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek mendedahkan beberapa lagi rakan mereka yang masih bebas dan turut aktif melakukan jenayah sama sekitar daerah ini.

"Ekoran itu, polis melancarkan Op Pintu dan berjaya menahan enam lagi remaja berusia 10 dan 13 tahun dengan semuanya mengaku terbabit dalam empat kes pecah rumah," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Che Ghazali berkata, antara barangan curi yang ditemui semula selepas penahanan sembilan remaja terbabit termasuk seunit mesin gergaji, jam tangan, vape, komputer riba, sepasang kasut roda dan dua unit telefon bimbit.

"Soal siasat mendapati semua barangan yang dicuri bernilai RM5,000 itu adalah untuk kegunaan sendiri, manakala ujian saringan air kencing turut mendapati mereka negatif dadah.

"Semua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 4:36 P

No comments:

Post a Comment