Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, rakan murid sekolah berkenaan mengalami kecederaan serius setelah dipukul kumpulan lelaki berkenaan dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid (gambar) berkata, ketika kejadian, murid sekolah berusia 13 tahun itu sedang berjalan bersama rakannya itu selepas pulang dari sekolah di kawasan berkenaan.
Namun, jelas beliau, kedua-dua remaja itu tiba-tiba dihampiri sebuah kenderaan dinaiki enam lelaki terbabit yang bertindak menarik kedua-dua mereka memasuki kenderaan tersebut.
“Selepas ditarik masuk ke dalam kenderaan ber­kenaan, enam lelaki terbabit telah bertindak memukul kedua-dua remaja terlibat.
“Malah kumpulan enam lelaki berkenaan juga bertindak menyamun barang milik seorang remaja terbabit iaitu seutas jam tangan dan rantai leher yang bernilai kira-kira RM500,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Mior Faridalatrash, sebaik sahaja mendapatkan barang berharga itu, enam lelaki terlibat menurunkan kedua-dua remaja terlibat di tepi jalan di sekitar kawasan terbabit sebelum meninggalkan mereka.
“Akibat kejadian itu, rakan murid tingkatan satu di sebuah sekolah di negeri ini terbabit terpaksa menerima rawatan di hospital setelah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka dan kepala.