Search This Blog

Loading...

Wednesday, October 5, 2016

Dua Lelaki Pukul Pekerja Restoran Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2016 10:49 PM

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Hanya gara-gara tidak berpuas hati kerana makanan dan minuman dipesan lambat tiba, dua lelaki sanggup bertindak di luar batasan dengan memukul dua pekerja restoran di sini, awal pagi Selasa.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira 4.25 pagi itu disedari anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Taman Nusa Bestari, dan berjaya meleraikannya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Noor Hashim Mohamad berkata dua lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan susulan itu kerana mengakibatkan dua pekerja restoran berkenaan, masing-masing warga Sri Lanka dan India berusia 28 dan 40 tahun mengalami kecederaan di muka, dahi dan badan.

"Pemeriksaan ke atas badan suspek tidak menjumpai sebarang senjata berbahaya malahan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

"Namun, berdasarkan siasatan awal, punca pergaduhan disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan minuman dan makanan yang dipesan lambat sampai," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment