Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berumur 43 dan 59 tahun itu, tiba-tiba diserang dua suspek bersenjatakan parang ketika baru memberhentikan kereta jenis Lexus yang dinaiki mereka.
Difahamkan, mangsa dipercayai telah diekori suspek selepas melakukan urusan di sebuah bank di sekitar kawasan TTDI.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman berkata, suspek bertindak memecahkan cermin kenderaan dan menarik beg tangan suspek menyebabkan mangsa lelaki menerima tiga jahitan di bahagian kepala manakala jari telunjuk tangan kanannya retak.
“Kakaknya turut menerima tiga jahitan di lengan tangan kanan manakala tempurung kaki kanan cedera kerana terkena parang,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Sharul, pihaknya sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pos pengawal sekitar rumah mangsa, namun suspek yang menaiki kereta jenis Honda Accord berwarna kelabu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE