Search This Blog

Loading...

Tuesday, October 4, 2016

Buaya di Sarawak boleh diburu, dijual



Buaya berukuran kira-kira lima meter dengan berat lebih 300 kilogram yang ditangkap di Sungai Teniku, Miri, tahun lalu. - Foto Fail/Ihsan JPAM


BERNAMA
Kuching: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan berbincang dengan kerajaan Sarawak bagi memperhalusi serta menetapkan garis panduan serta peraturan memburu dan memperdagang buaya yang dijangka mengambil tempoh kira-kira enam bulan sebelum dimuktamadkan.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia susulan kejayaan Malaysia menurun taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II di mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan ketika ini, yang akan membolehkan buaya di Sarawak diburu serta diperdagangkan.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan yang sedang bermesyuarat di Johannesburg, Afrika Selatan, semalam, bahawa CITES bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menurun taraf haiwan itu.

Bercakap kepada pemberita di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, beliau berkata pemburuan dan perdagangan haiwan itu hanya meliputi Sarawak memandangkan negeri lain tidak merekodkan banyak konflik dengan reptilia itu.

Wan Junaidi berkata banyak perkara perlu diambil kira selaras dengan keputusan berkenaan antaranya memastikan ia tidak mengakibatkan populasi buaya pupus, konflik manusia dengan reptilia perlu dapat dikurangkan, dan pada masa sama ia dapat meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, terutama di pesisir sungai.

Berdasarkan penyelidikan pada 2015, ada 13,500 buaya di lebih 40 sungai Sarawak dan 52 kes dilaporkan membabitkan kehilangan kira-kira 27 nyawa manusia.

Wan Junaidi berkata daging buaya boleh dijual kepada negara seperti Thailand, China, Vietnam serta Kemboja, dan umum tahu kulit buaya mempunyai nilai tinggi di pasaran, membolehkan haiwan itu menjadi sumber pendapatan kepada penduduk luar bandar.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 8:02 PM

No comments:

Post a Comment