Search This Blog

Loading...

Saturday, October 8, 2016

Bayi derita tertumpah mi segera


Bayi derita tertumpah mi segera

SYAMILAH ZULKIFLI 8 OKTOBER 2016

SEREMBAN -  Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan melecur pada muka, dada dan tangan kanan selepas mi segera yang sedang dimasak di atas dapur, tumpah ke atasnya.
Kejadian berlaku Rabu lalu di Flat Lobak, di sini,  menyebabkan bayi berkenaan, Mohamad Kisli Naqit Mohamad Syukor dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dia yang masih dirawat di HKL bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun memerlukan perhatian sepenuhnya.
Menceritakan kejadian, bapa kepada bayi berkenaan, Muhamad Shukor Zulkiflee, 27, berkata, ketika itu, hanya anak buahnya berusia 12 tahun dan Mohamad Kisli Naqit berada di rumah. Manakala isterinya bersama seorang lagi anak mereka berusia enam bulan ke kedai berhampiran.
“Kira-kira jam 8 malam, isteri saya telefon beritahu anak kami melecur teruk dan saya dari tempat kerja bergegas pulang ke rumah.
“Saya diberitahu kejadian itu berlaku selepas Kisli menarik getah tong gas menyebabkan mi segera yang sedang dimasak oleh anak buah saya tumpah ke atasnya,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian membawa anaknya ke HTJ, namun dirujuk ke HKL.
Muhamad Shukor yang bekerja sebagai penjaga kaunter tiket bas sambilan di hentian bas dan teksi Terminal One, di sini  berkata, anaknya kini berada dalam keadaan stabil namun memerlukan perhatian sepenuhnya.
Sementara itu, kejadian berkenaan yang turut dipaparkan dalam media sosial, mendapat perhatian netizen.
Bagaimanapun. ada antara netizen menyalahkan ibu-bapa bayi berkenaan berikutan insiden terbabit.
Namun begitu, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti meminta netizen supaya tidak lagi memberi tekanan kepada ibu bapa bayi berkenaan.
Dia yang menyebarkan berita kanak-kanak itu sehingga menjadi viral di laman sosial berkata, tujuannya hanya untuk membantu ibu-bapa kanak-kanak terbabit yang kurang berkemampuan untuk menanggung kos perubatan.
“Tapi saya kesal ada yang seolah-olah menyalahkan ibu bapa bayi tersebut. Mana-mana ibu bapa pun tak mahu kejadian itu berlaku dan jangan persoalkan lagi, paling penting kita bantu mereka.
“Saya difahamkan yang ibu bayi tersebut masih terkejut dengan kejadian itu dan janganlah kita terus menghukum,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Bagi mereka yang berhasrat untuk membantu, boleh hulurkan sumbangan ke akaun RHB 1681-9100-020-70 atas nama Muhamad Shukor Zulkiflee.

No comments:

Post a Comment