Search This Blog

Loading...

Saturday, October 8, 2016

Bapa maut jatuh dari bumbung rumah

NOOR AZLIDA ALIMIN

 8 OKTOBER 2016
Bapa maut jatuh dari bumbung rumah

Anak kedua, Mohamad Amirul Aiman, 18, menunjukkan bumbung yang dinaiki arwah bapanya, kelmarin.

RANTAU PANJANG – Seorang bekas penjaja ikan maut selepas terjatuh ketika membaiki bumbung rumahnya di Simpang Tiga Kampung Bagus, jam 11.30 pagi, kelmarin. Isteri, Nurul Asikin Arifin, 40 berkata, angin ribut sejak minggu lalu, menyebabkan mereka terpaksa berdepan dengan masalah ketirisan air hujan.

Walaupun suaminya, Yasin Mohamad, 50, tidak sihat namun Asikin berkata, arwah berkeras mahu membaiki bumbung agar mereka dan anak-anak berasa lebih selesa.

Malah katanya, arwah teruja kerana dua anak mereka yang masih menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim dan Kejuteraan di Akademi Penerbangan di Kota Bharu, pulang ke rumah sempena cuti semester.

Menurutnya, arwah suaminya yang juga bekas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mahu menghabiskan wang bantuan terakhir yang diterima sebelum dipotong, bulan lalu.

 Maka katanya, dia rela menggantikan bumbung rosak daripada membayar upah tukang yang terlalu mahal. “Pada mulanya, arwah memanjat ke bumbung sementara saya dan anak sulung menghulurkan atap zink dari bawah.

 “Lepas hulur zink terakhir, dia suruh kami meneruskan kerja lain dan membiarkannya seorang diri membaiki rumah berkenaan,” katanya.

Ketika itulah Asikin berkata, mereka mendengar dentuman kuat dari arah dapur dan melihat arwah terjatuh di lantai manakala darah berlumuran di kabinet simen. Asikin berkata, dia meriba arwah dan menyuruh anak-anaknya yang lain meminta pertolongan daripada jiran terdekat.

“Saya ajarnya mengucap, tapi tak lama lepas itu, saya lihat dada arwah turun naik dan menghembus nafas terakhir dalam pangkuan saya,” katanya. Sementara itu, wakil Kelab Usahawan Rantau Panjang, Zamri Idris berkata, peniaga-peniaga di Rantau Panjang bersimpati dengan keadaan yang menimpa Asikin sekeluarga.

“Mereka cekal memelihara enam anak-anak yang berusia 19 hingga empat tahun malah anak-anak tidak menjadikan kemiskinan sebagai penghalang untuk berjaya dalam akademik,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Asikin, semalam.

No comments:

Post a Comment