Search This Blog

Loading...

Sunday, October 9, 2016

Bapa dakwa Nurul Wafiqah pernah dibuli di asrama


09 Oktober 2016 12:15 AM




KLANG 8 Okt. – Seorang pelajar perempuan Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin, Sungai Bertih dekat sini, Nurul Wafiqah Mohd. Haidzer, 15, yang dilaporkan hilang selepas tamat sesi persekolahan pada Selasa lalu didakwa pernah dibuli oleh pelajar lain di asrama sekolah terbabit.

Ayah mangsa, Mohd. Hai­d­zer Shafie, 48, mendakwa, anak bongsu daripada enam beradik itu yang tinggal di asrama seko­lah terbabit pernah mengadu kepadanya beberapa bulan lalu yang dia dibuli oleh rakan-rakannya di sekolah berkenaan.

“Saya juga pernah mengadu kepada pihak sekolah berkenaan hal itu, tetapi tiada sebarang maklum balas balas diberikan kepada saya sama ada perkara itu sudah selesai atau belum.

“Mungkin sebab itu dia tidak suka tinggal di asrama terbabit dan bertindak keluar tanpa penge­tahuan keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Nenas, Meru, di sini hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, Nurul Wafiqah sepatutnya pulang ke asrama selepas selesai sesi persekolahan kira-kira pukul 2.30 petang tetapi berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) di pagar sekolah berkenaan mendapati pelajar tingkatan tiga itu dilihat keluar bersama pelajar lain di pintu utama sekolah dan menghilangkan diri sehingga kini.

Mengulas lanjut, Mohd. Haidzer memberitahu, pihaknya juga terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang lambat memaklumkan kehilangan anaknya itu.

“Kami hanya tahu tentang kehilangan itu daripada adik seorang guru sekolah berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi keesokan harinya iaitu selepas kira-kira 18 jam dia hilang,” ujarnya.

Katanya, laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada pukul 2 petang hari yang sama.

Tambahnya, seluruh ahli keluarganya kini amat risau tentang kehilangan anak bongsunya itu dan berharap Nurul Wafiqah dalam keadaan selamat serta cepat pulang ke pangkuan keluar­ganya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh meng­hubungi saya di nombor 019-6119268, 019-3465643 atau 018-3997411,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Da­erah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan sedang dijalankan untuk mengesan remaja itu.

No comments:

Post a Comment