Search This Blog

Loading...

Monday, October 3, 2016

Ajal suami isteri



Kereta yang merempuh dua motosikal turut hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan. FOTO ihsan pembaca

Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my

Ipoh : Suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh kereta di Jalan Kampung Sri Kinta berhampiran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 8.27 pagi itu, penunggang motosikal, Yazid Ismail, 53 dan isterinya yang membonceng motosikal, Hasnidar Hassan, 48, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta cedera.

Turut terbabit dalam kemalangan itu seorang penunggang motosikal dan pemboncengnya, namun mereka hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati dua motosikal berkenaan dalam perjalanan dari Pasir Putih menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu kereta berkenaan cuba memotong kenderaan di hadapan namun merempuh kedua-dua motosikal itu.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, kereta terbabit kemudiannya hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan.

"Pemandu kereta berkenaan cedera manakala penumpangnya berusia 24 tahun tidak cedera.

"Penunggang dan pembonceng daripada salah satu motosikal yang dirempuh bagaimanapun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Chang Keong berkata kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 4:03 PM

No comments:

Post a Comment