Search This Blog

Loading...

Saturday, October 8, 2016

572 korban Taufan Matthew


GAMBAR kerosakan yang berlaku di kawasan Sous Roche, barat daya Haiti akibat Taufan Matthew semalam. - AFP


ORLANDO, Florida – Taufan Matthew membadai negeri Florida di Amerika Syarikat (AS) awal semalam selepas membunuh sekurang-kurangnya 572 orang di Haiti dan mencetuskan kemusnahan besar semasa melintasi Laut Carribean.
Ribut selaju 215 kilometer sejam (kmj) itu turut membadai Kepulauan Bahamas sebelum tiba di Florida, kata Pusat Taufan Kebangsaan AS (NHC). Kemusnahan dan angka kematian di Bahamas belum dapat dipastikan setakat semalam.
Di Haiti, beberapa pegawai tempatan berkata, di samping meragut 572 nyawa, Taufan Matthew menyebabkan beribu-ribu orang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka ranap. Ribut itu menumbangkan pokok-pokok dan mencetuskan banjir kilat.
Empat orang maut dalam bencana tersebut di Republik Dominica yang berjiran dengan Haiti.
Kelajuan Taufan Matthew bagaimanapun berkurangan kepada 192 kmj menjelang malam kelmarin.
Menurut NHC, cuma segelintir ribut sekuat Taufan Matthew pernah melanda Florida. Agensi itu memberi amaran bahawa kemusnahan besar dijangka berlaku. Sebuah lagi agensi kaji cuaca AS, Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan menyatakan, ribut itu dipercayai taufan paling kuat pernah membadai Florida dalam tempoh 118 tahun.
Di Florida, angin kencang dan hujan lebat yang dibawa Taufan Matthew membadai negeri itu awal semalam dan dijangka berterusan sepanjang hari.
Ribut itu dijangka mengancam kawasan pantai sejauh 800 kilometer dan 26 juta penduduk AS.
Menjelang ketibaan ribut itu, pihak berkuasa mengisytiharkan darurat bencana di beberapa buah negeri di AS sebagai perancangan awal menghadapinya.
Seramai dua juta penduduk di sepanjang pantai tenggara AS telah diberi amaran supaya berpindah ke kawasan jauh dari laut. Dalam pada itu, bilangan kediaman dan premis perniagaan yang terputus bekalan elektrik melonjak ketika Taufan Matthew menghampiri Florida. Menjelang awal semalam lebih 600,000 kediaman dan perniagaan terpaksa bergelap.
Kali terakhir taufan utama atau ribut berkelajuan melebihi 177 kmj membadai daratan di AS ialah Taufan Wilma pada 2005. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1008&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4MRrPgo6c 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment