KAMARUL ZAMAN MAMAT
Terbaharu dalam 106 serbuan ke atas tujuh premis dan 99 pusat hiburan keluar­ga (PHK) bermula 29 September hingga semalam, polis menahan 517 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian ha­ram secara dalam talian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat (gambar) ber­ka­ta, kesemua individu termasuk 118 penjaga premis yang dicekup dalam operasi selama seminggu itu berusia antara 21 hingga 60 tahun.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, polis merampas 1,321 mesin PHK, 14 tablet, 27 unit komputer, 46 komputer riba dan wang tunai kira-kira RM38,500. Anggaran nilai ke­seluruhan barangan yang dirampas adalah RM2.7 juta.
“Hasil serbuan dalam masa tujuh hari ini mendapati 99 premis menjalankan operasi tanpa lesen dan selebihnya menyalahgunakan lesen yang diberikan.
“Mereka ini mula mengubah taktik menjalankan operasi perjudian di tingkat atas rumah kedai bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Oleh itu, polis bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menggiatkan lagi usaha membanteras kegiatan judi habis-habisan,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, sebanyak sembilan serbuan yang dilakukan kali ini mendapat kerjasama PBT, iaitu empat di kawasan Johor Bahru Utara, dua serbuan masing-masing di Kluang dan Kota Tinggi dan satu di Segamat.
Sepanjang serbuan dilakukan, seramai 10 warga asing dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh turut ditahan.