Search This Blog

Loading...

Sunday, September 4, 2016

Virus Zika ditemui dalam nyamuk di Florida





MIAMI, Florida – Virus Zika ditemui dalam tiga kumpulan nyamuk yang diperangkap di pantai Miami Beach, Florida, kali pertama perkara itu berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, pihak berkuasa AS menyalahkan sejenis bunga sebagai punca usaha membasmi nyamuk Aedes menjadi jauh lebih sukar.

Salah satu perangkap yang didapati positif virus Zika diletakkan di Taman Botani Miami Beach di mana bunga bromeliad mekar. Tumbuhan itu menakung air dan menjadi tempat pembiakan jentik-jentik walaupun mempunyai bunga berwarna-warni dan daun tirus.

“Setiap orang patut tahu bahawa bunga bromeliad menjadi masalah buat kami. Tumbuhan ini menjadi tempat pembiakan nyamuk nombor satu,” kata Datuk Bandar Miami-Dade, Carlos Dimenez.

Katanya, pihak berkuasa tempatan sedang membuang semua bunga bromeliad dari lanskapnya dan menggesa penduduk Florida supaya turut berbuat demikian atau membersihkan tumbuhan itu setiap kali selepas hujan.

Terdahulu, Gabenor Florida, Rick Scott mengarahkan majlis perbandaran Miami- Dade segera melakukan semburan racun serangga menggunakan helikopter seperti yang diarahkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Semua nyamuk pembawa virus Zika itu diperangkap di kawasan pelancongan seluas 3.8 kilometer di pantai South Beach yang merupakan zon jangkitan aktif kuman itu, kata Jabatan Pertanian dan Perkhidmatan Pelanggan Florida dalam satu kenyataan akhbar.

“Ini kali pertama kami menemui virus Zika dalam nyamuk tempatan,” kata seorang jurucakap CDC, Erin Sykes.

Penyakit Zika disebarkan dari manusia kepada nyamuk dan pada manusia lain melalui gigitan serangga tersebut. Bagaimanapun nyamuk tidak menyebarkan virus itu kepada nyamuk lain. Jangka hayat nyamuk hanyalah beberapa minggu.

Sementara itu, satu tinjauan yang disiarkan kelmarin mendapati hampir 48 peratus rakyat AS bimbang untuk berkunjung ke kawasan wabak Zika yang tersebar melalui gigitan nyamuk.– AP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz4JEuFKSSb
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment