Search This Blog

Loading...

Wednesday, September 7, 2016

'Usahawan' pakai buang




MANGSA menunjukkan gambar suspek serta dokumen bukti berkaitan.

Siraj Mohd Zaini dan Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Impian 200 wanita untuk bergelar usahawan bukan saja musnah malah mereka menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit selepas menjadi mangsa penipuan sindiket penjualan lampin bayi.

Segalanya bermula selepas mereka terpengaruh dengan iklan di Facebook (FB) pada Mac lalu yang mendakwa boleh membekalkan lampin bayi pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Selepas menghubungi pembekal, mangsa dari seluruh negara dimasukkan ke dalam empat kumpulan aplikasi Whatsapp dan diuruskan empat orang tengah bagi mengutip tempahan setiap kotak lampin bayi pakai buang itu.

Difahamkan, setiap kotak mengandungi tiga pek lampin bayi dan dijual pada harga RM68 oleh sindiket sekali gus menyebabkan semua mangsa ‘kelabu mata’ kerana ia boleh dijual mencecah RM95 di pasaran.

Disebabkan itu, ada di antara mangsa sanggup membuat pinjaman bank, meminjam daripada syarikat pinjaman wang berlesen, ahli keluarga dan kenalan semata-mata menempah barangan terbabit dalam kuantiti banyak.

Kebanyakan wanita yang menjadi mangsa kerugian serendah RM1,000 sehingga RM90,000 selepas sindiket yang dipercayai didalangi lelaki berusia 32 tahun bersama empat rakannya gagal menyediakan stok tempahan sejak Jun lalu.

Mangsa, Norsuhainiza Mohd Sutiman, 28, berkata, pada mulanya dia membuat tempahan dalam kuantiti kecil kerana sebelum yakin menambah stok kerana mendapat sambutan pelanggan.

“Pada tempah kali kedua, saya melabur RM57,596 untuk membeli 847 kotak lampin pada awal Mei lalu, tetapi orang tengah mula memberi pelbagai alasan untuk menangguhkan penghantaran.

“Selepas beberapa minggu didesak berulang kali, orang tengah yang dikenali sebagai Ika pun memberikan saya sekeping cek, tetapi malangnya ia cek tendang,” katanya.

Mangsa lain, Siti Farhah Mohd Amir, 30, berkata, dia kerugian lebih RM18,000 dan buntu untuk membayar pinjaman bank serta memulangkan wang pendahuluan pelanggan.

“Saya tahan telinga dimaki hamun dan ditengking mereka yang tidak faham situasi saya, namun masih ada pelanggan sanggup bersabar sehingga isu ini diselesaikan.

“Buat masa ini saya dan rakan letih mendesak mereka membayar duit kami sehingga ada antara kami membuat laporan polis,” katanya.

Mangsa, Norhayati Umor, 30, berkata, dia dan rakan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor nekad membuat laporan polis supaya pihak berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Saya kerugian lebih RM6,000, tidak sangka niat mahu berniaga secara kecil-kecilan pun ada orang sanggup mengambil kesempatan, lebih teruk lagi kami golongan wanita yang mencari rezeki untuk membantu keluarga.

“Buat masa sekarang, apa yang saya lakukan dengan membayar sedikit demi sedikit duit ahli keluarga dan rakan yang menempah lampin daripada saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya kini dalam proses terakhir untuk melengkapkan siasatan berkaitan kes berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 8:08 AM

No comments:

Post a Comment