Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 6, 2016

Tujuh penyiasat alam sekitar diugut bunuh


Diancam bakar hidup-hidup, mayat dibuang dalam sungai
06 September 2016 12:12 AM


SITI NURBAYA

JAKARTA 5 Sept. - Pasukan penyiasat alam sekitar Indonesia yang menjalankan siasatan kebakaran hutan di kepulauan Sumatera berdepan detik cemas apabila menerima ugutan bunuh daripada sekumpulan 100 lelaki yang menahan mereka, minggu lalu.
Menteri Perhutanan dan Alam Sekitar, Siti Nurbaya dalam satu kenyataan berkata, pa­sukan penyiasat terdiri daripada tujuh orang itu ditahan hampir 12 jam oleh kumpulan lelaki berkenaan yang dipercayai diupah sebuah syarikat perladangan.
“Kumpulan itu mengancam mahu membakar pasukan penyiasat berkenaan hidup-hidup serta membuang mayat mereka di sungai dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Rokan Hulu, Riau,” katanya.
Siti Nurbaya memberitahu, ketika kejadian, pasukan itu sedang menjejaki titik panas yang dikesan melalui imej satelit di kawasan ladang kelapa sawit milik syarikat perladangan terbabit.
Beliau mendakwa, terdapat petunjuk kuat bahawa kumpulan itu diupah oleh syarikat berkenaan.
“Dengan insiden ini, siasatan ke atas syarikat itu akan menjadi keutamaan kami. Kementerian akan menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang. Setakat yang kami lihat, kawasan itu yang sebelum ini merupakan tanah gambut telah ditukar menjadi ladang kelapa sawit,” jelasnya.
Sementara itu, pasukan penyi­asat terbabit dibebaskan selepas satu rundingan panjang membabitkan polis dan mereka bersetuju memadamkan bukti bergambar selain meninggalkan dua ken­deraan serta kelengkapan masing-masing.
Kelengkapan dan kenderaan itu kemudiannya ditemukan semula sehari selepas kejadian.
Pasukan penyiasat bagaimanapun berjaya memperoleh rakaman video yang diambil menggunakan sebuah dron yang menunjukkan ribuan hektar hutan dibakar secara haram di dalam dan sekitar kawasan ladang tersebut.
Dalam pada itu, jurucakap syarikat berkenaan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu.
Setakat ini, lebih 450 individu telah ditahan berkaitan pembakaran tanah dan hutan di Indonesia, insiden yang mengakibatkan Malaysia dan Singapura dilanda jerebu sehingga merekodkan bacaan udara tidak sihat.
Mengikut undang-undang Indonesia, syarikat yang didapati membersihkan tanah dengan cara membakarnya boleh didenda sehingga 10 bilion rupiah (RM3 juta) dan pihak pengurusan berdepan penjara sehingga 10 tahun. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tujuh-penyiasat-alam-sekitar-diugut-bunuh-1.379077#sthash.pkJbgoGJ.dpuf

No comments:

Post a Comment