Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 6, 2016

Tokoh parti Islam Bangladesh digantung



AMBULANS membawa jenazah Mir Quasem Ali keluar dari Penjara Kashimpur. Gambar kecil, Mir Quasem. - AFP

Dhaka: Pihak berkuasa Bangladesh semalam menggantung seorang tokoh parti Islam yang didapati bersalah melakukan kekejaman ketika perang menuntut kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971.

Mir Quasem Ali, 63, pembiaya kewangan utama parti Jamaat-e-Islami digantung di Penjara Kashimpur di pinggir Dhaka atas tuduhan membunuh, menahan secara paksa, mendera dan menghasut ketika perang itu.

Menteri Undang-Undang Anisul Haq berkata, Mir Quasem digantung pada jam 10.35 malam (12.35 pagi waktu Malaysia), beberapa hari selepas mahkamah tertinggi negara itu menolak rayuan terakhirnya.

Mir Quasem, taikun media, adalah pemimpin kelima Jamaat digantung selepas didapati bersalah pada 2014 oleh tribunal jenayah perang.

Parti Islam itu yang mendakwa tuduhan terhadap Mir Quasem tidak berasas, menggesa mogok dilancarkan setengah hari hari ini sebagai membantah hukuman itu.

Menurutnya, tindakan menggantung Mir Quasem adalah sebahagian konspirasi kerajaan untuk menjadikan parti itu tiada pemimpin.

Ribuan anggota polis dan pengawal sempadan dikerah berjaga-jaga di Dhaka berikutan penggantungan Mir Quasem.

Empat tokoh Jamaat, termasuk bekas pemimpin parti itu, Motiur Rahman Nizami dan seorang pemimpin parti pembangkang lain, digantung atas tuduhan jenayah perang sejak Disember 2013.

Tribunal itu yang ditubuhkan Perdana Menteri Sheikh Hasina pada 2010 mencetuskan keganasan dan dikritik kumpulan pembangkang yang mendakwa ia menyasarkan musuh politiknya. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:02 PM

No comments:

Post a Comment