Search This Blog

Loading...

Thursday, September 8, 2016

Tiru macam Filipina




SEPASUKAN anggota polis Filipina membuat serbuan di sebuah rumah suspek dadah di Pasig City, pinggir Manila pada Isnin lalu. - AFP

Agensi
Jakarta: Badan Antidadah Kebangsaan (BNN) Indonesia menyokong kempen memerangi dadah seperti yang dilancarkan di Filipina yang menyebabkan hampir 3,000 orang dibunuh.

Pengarah BNN, Budi Waseso yang pernah mencadangkan penjara dikawal oleh buaya berkata, kempen seperti itu mampu melindungi negara itu.

Indonesia melancarkan perang terhadap dadah dengan menghukum mati pengedar dadah termasuk warga asing sehingga mencetuskan bantahan antarabangsa.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte turut dikritik hebat selepas mengarahkan pihak berkuasa menembak mati pengedar dadah.

Sejak Duterte berkuasa pada Mei lalu hampir 3,000 suspek dadah dibunuh pihak berkuasa dan individu tidak dikenali di Filipina.

Duterte bakal bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada minggu ini dan antara topik yang bakal dibincangkan adalah berkaitan dadah.

Menjelang pertemuan berkenaan, Budi berkata, Indonesia mungkin mengikut cara Filipina berdepan dengan ancaman dadah.

Katanya, agensi itu dalam proses menambah senjata, anggota, peralatan dan teknologi untuk membasmi dadah.

Apabila ditanya wartawan adakah agensi itu bakal menjadi agresif seperti Filipina, Budi berkata, ”Ya, saya percaya ia mungkin berlaku kerana masalah dadah di negara ini seburuk di Filipina.

“Nyawa pengedar dadah tidak berharga kerana mereka sebenarnya melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Sekiranya cara itu dilakukan di negara ini saya yakin jumlah pengedar dan penagih dadah turun mendadak,” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:37 AM

No comments:

Post a Comment