Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 6, 2016

Terbabas, langgar tembok, tercampak



Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Anggota tentera maut selepas motosikalnya terbabas yang menyebabkannya tercampak dari ketinggian kira-kira 24 meter di Lebuhraya bertingkat Duke.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud, berkata, kejadian pada kira-kira 6 petang Isnin.

Katanya, siasatan lanjut di lokasi mendapati tiada kesan pelanggaran dengan kenderaan lain ditemui pada motosikalnya.

Menurutnya, mangsa dipercayai terlanggar tembok batu sebelum tercampak ke bahagian bawah lebuh raya berkenaan.

"Hasil maklumat daripada Pengarah Hal Ehwal Markas Tentera Laut dan isterinya mendapati, arwah Mohd Zuffizzan Mat Noh, 33, menghidap penyakit saraf dan sering pitam secara mengejut.

"Sebelum ini, mangsa dilaporkan pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas diserang penyakit itu. Mangsa juga masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jenazah sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Shafie berkata, mangsa adalah anggota Tentera Laut di Markas Angkatan Bersama dan bertugas di Kementerian Pertahanan.

Katanya, Allahyarham dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 1:19 AM

No comments:

Post a Comment