Search This Blog

Loading...

Thursday, September 29, 2016

Suspek utama larikan Nur Darleen Dazeera ditahan

ENAYAH RABU, 28 SEPTEMBER 2016 @ 9:48 PM
Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my  bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang daripada dua lelaki yang melarikan seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di Bandar Tun Hussein Onn, 22 September lalu, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Koperasi Maju Jaya, Cheras, dekat sini, Isnin lalu.

 Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 27 tahun yang juga suspek utama, ditangkap hasil risikan polis dan maklumat awam.

 Suspek juga dipercayai aktif melakukan kegiatan samun. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Superintendan Othman Nanyan, berkata polis menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan ketika melarikan mangsa dan melakukan samun dalam rumah berkenaan.

"Kita turut menemui satu dompet berisi kad pengenalan suspek dan satu lagi kad pengenalan orang lain. Hasil semakan, kita mendapati ia adalah milik seorang mangsa dalam satu kejadian samun di Batu 9 Cheras pada 24 September lalu.

 "Semakan turut mendapati suspek yang masih bujang dan tidak bekerja itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Katanya, hasil soal siasat ke atasnya, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menjadi pembeli barangan hasil samun yang dilakukan suspek.

"Tangkapan dilakukan pada hari sama dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Minang, Batu 9, Cheras, pada jam 5.30 petang. Kita menemui beberapa barangan dipercayai hasil samun, antaranya tiga utas jam tangan, tablet komputer dan telefon bimbit.

"Dalam pada itu, kita sudah mengenal pasti seorang lagi rakan suspek yang bersubahat melarikan mangsa dan usaha memburunya sedang dilakukan," katanya. Beliau berkata, suspek terbabit kini direman tujuh hari sehingga 2 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, dilarikan dua lelaki menunggang motosikal di hadapan rumahnya di Jalan Suasana 4/2, Bandar Tun Hussein Onn. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pelajar berkenaan, Nur Darleen Dazeera Azhar, 15, sedang menunggu van untuk ke sekolah.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197064

No comments:

Post a Comment