Search This Blog

Sunday, September 4, 2016

Suri rumah maut motosikal dilanggar kereta



Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Suri rumah maut selepas motosikal dinaiki bersama suaminya berlanggar dengan kereta di Jalan Duta, di sini, 5.26 pagi tadi.

Wanita berusia 48 tahun terbabit meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur, kira-kira 11 pagi tadi.

Suami mangsa berusia 45 tahun parah dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama manakala pemandu kereta cedera ringan.

Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal dan kereta.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 21 tahun terbabas secara sendiri dipercayai akibat jalan licin sebelum melanggar tiang di tepi kiri jalan.

"Kejadian menyebabkan kereta terbabit berpusing dan penunggang motosikal disyaki tidak dapat mengelak sebelum berlanggar.

"Pemandu kereta mengalami kecederaan ringan manakala penunggang motosikal patah tulang pinggul dan pembonceng pula cedera di beberapa bahagian badan serta disahkan meninggal dunia ketika dirawat.

"Siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 4:33 PM

No comments:

Post a Comment