Search This Blog

Loading...

Thursday, September 29, 2016

Sejuta wanita miskin di Britain jadi mangsa dera






WANITA miskin cenderung menjadi mangsa keganasan dan penderaan. – Gambar Hiasan

LONDON – Seramai sejuta wanita miskin di Britain pernah menjadi mangsa keganasan dan penderaan yang menyebabkan mereka cenderung untuk membunuh diri, mengalami sakit mental dan menjadi gelandangan, demikian menurut satu laporan semalam.

Laporan pertama seumpamanya itu diterbitkan oleh Agenda, sebuah perikatan terdiri daripada lebih 60 kumpulan yang membela golongan wanita. Menurut agensi tersebut, wanita miskin lebih cenderung berdepan dengan segala bentuk penderaan dan keganasan berbanding wanita lain.

“Kaitan antara keganasan dan kemiskinan dalam kehidupan wanita bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Apa yang benar-benar mengejutkan ialah betapa sukarnya kehidupan wanita yang menempuh kedua-dua pengalaman ini,” kata pengarah Agenda, Katharine Sacks-Jones.

Menurut laporan itu, sebanyak 14 peratus wanita miskin berdepan keganasan dan penganiayaan paling meluas seperti menjadi mangsa kawalan dan keganasan pasangan masing-masing atau berdepan keganasan fizikal dan seksual.

Kadar itu ialah melebihi dua kali ganda daripada kadar wanita bukan miskin.

“Keganasan dan kemiskinan membawa penderitaan yang teruk terhadap kehidupan mangsa,” kata laporan sama.

Lebih sepertiga wanita yang menjadi mangsa keganasan dan pende­raan cuba membunuh diri berban­ding cuma empat peratus wanita miskin yang tidak didera, manakala satu dalam setiap dua wanita terbabit mengalami sindrom kemurungan atau masalah mental yang lain.

Satu perlima daripada golongan itu juga hidup secara gelandangan.

“Wanita miskin kekurangan sumber untuk mengelak keganasan dan penganiayaan,” kata Sack-Jones.

“Pengalaman menjadi mangsa keganasan dan penderaan boleh menyebabkan wanita kekal dalam kepompong kemiskinan. Keganasan dan kemiskinan sukar untuk dipisahkan,” tambahnya. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4LbA1u3Ie
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment