Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 6, 2016

Samseng ugut bunuh pegawai Indonesia siasat jerebu





JAKARTA – Sekumpulan lelaki Indonesia yang dipercayai diupah oleh sebuah syarikat perladangan kelapa sawit mengugut akan membunuh pegawai alam sekitar yang menyiasat kebakaran hutan di pulau Sumatera, kata Kementerian Alam Sekitar Indonesia.

Insiden itu membayangkan kesukaran Indonesia dalam membedung aktiviti pembakaran hutan untuk membersihkan tanah bagi tanaman kelapa sawit dan ladang kertas yang menyebabkan masalah jerebu saban tahun.

Kementerian itu berkata, kumpulan terdiri daripada 100 lelaki itu menahan tujuh pegawai pe­nyiasatnya selama hampir 12 jam pada hujung ming­gu lalu. Kumpulan samseng ini mengancam akan membakar mereka hidup-hidup dan mencampakkan mayat mereka ke dalam sungai di sebuah ladang kelapa sawit di Rokan Hulu, wilayah Riau.

Ketika kejadian, pasukan penyiasat itu sedang menyiasat titik panas berdasarkan imej satelit yang menunjukkan kebakaran hutan di ladang kelapa sawit milik syarikat PT Andika Permata Sawit Lestari (APSL) .

Terdapat ‘petunjuk jelas’ bahawa samseng itu dihantar oleh APSL, kata kementerian itu dalam kenyataan.

“Susulan kejadian ini, siasatan terhadap APSL akan menjadi keutamaan kami,” kata Menteri Alam Sekitar, Siti Nurbaya dalam satu kenyataan.

Seorang jurucakap APSL enggan mengulas ketika dihubungi agensi berita Reuters semalam.

Pasukan penyiasat itu hanya dibebaskan selepas satu rundingan panjang melibatkan polis dan selepas mereka bersetuju memadamkan semua rakaman serta meninggalkan dua buah kenderaan dan peralatan siasatan. Aset itu dipulangkan pada keesokan harinya.

Pasukan penyiasatan itu bagaimanapun berjaya membuat rakaman video menggunakan dron yang menunjukkan beribu-rubu hektar hutan dibakar secara haram di dalam dan sekitar ladang APSL. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.1.htm#ixzz4JQdj3ZAe
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment