Search This Blog

Loading...

Thursday, September 29, 2016

Rusia sekali lagi tuduh Ukraine tembak MH17






REUTERS - GAMBAR fail pada 17 Julai 2014 menunjukkan seorang anggota pemisah berdiri di atas serpihan MH17 di Donetsk, Ukraine.

MOSCOW – Rusia kelmarin cuba menyalahkan Ukraine berhubung perbuatan menembak jatuh Pe­nerbangan MH17, beberapa hari sebelum siasatan jenayah tragedi pembunuhan beramai-ramai itu diumumkan.

Kiev dan Barat menegaskan bahawa kumpulan pemisah pro-Rusia menembak jatuh Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia itu di ruang udara timur Ukraine yang bergolak pada 17 Julai 2014 menggunakan sistem peluru berpandu dipercayai dibekalkan oleh Moscow.

Menurut keputusan siasatan antarabangsa pada Oktober 2015, MH17 ditembak jatuh menggunakan sebuah peluru berpandu BUK buatan Rusia yang dilancarkan dari kawasan dikuasai puak pemisah pro-Rusia. Semua 298 penumpang dan kru MH17 maut dalam tragedi itu.

Namun, siasatan tersebut tidak menamakan pihak yang bertanggungjawab menembak MH17.

Begitupun, Rusia dan pembe­rontak Ukraine berulang kali menafikan terbabit menembak jatuh MH17. Kedua-dua pihak membuat dakwaan bercanggah yang dianggap oleh ramai pengkritik sebagai cubaan untuk mengelirukan kes tersebut.

Dalam satu taklimat ringkas kelmarin, Kementerian Pertahanan Rusia menyiarkan imej radar yang menunjukkan bahawa tiada sebarang peluru berpandu dilepaskan dari wilayah yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia.

“Jika peluru berpandu itu ialah BUK, maka ia milik pasukan tentera Ukraine dan ditembak dari kawasan yang dikuasai oleh Kiev.

“ Sekiranya pesawat Boeing Malaysia itu ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu dari kawasan pemberontak, sudah pasti ia akan tertera dalam radar Rusia,” kata Komander Tentera Rusia, Andrei Koban.

Rakaman radar yang disiarkan oleh Rusia kelmarin bercanggah dengan dakwaan Moscow sebelum ini bahawa sebuah jet Ukraine dikesan terbang berhampiran dengan pesawat malang itu.

Hasil keputusan siasatan yang diketuai oleh Belanda itu dijangka diketahui hari ini. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4LbAAdQZG
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment