Search This Blog

Loading...

Wednesday, September 28, 2016

Restoran Thai ‘ternak’ lipas


SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
28 SEPTEMBER 2016
Restoran Thai ‘ternak’ lipas

Restoran Thai ‘ternak’ lipas Anggota penguatkuasa menerangkan sesuatu kepada pengusaha restoran terbabit sebelum mengeluarkan notis arah tutup selama 14 hari. Gambar: Lipas yang berkeliaran di celah pinggan di ruang dapur.
MELAKA TENGAH - Menjijikkan apabila sebuah restoran masakan Thai di Batu Berendam, di sini, umpama tempat 'ternakan' lipas.

Serangga itu ditemui di celah pinggan yang disusun dan di bawah meja meletakkan bahan masakan, selain turut berada di dalam bekas sayuran di ruang dapur premis berkenaan ketika pemeriksaan kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Restoran itu merupakan antara lima premis yang diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri dalam serbuan, kelmarin.

Pengarah Kesihatan negeri, Ghazali Othman berkata, pemeriksaan ketika Ops Tom Yam dilakukan penguatkuasaan Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) JKN yang kemudian mengeluarkan notis penutupan premis selama 14 hari.

“Kita menerima beberapa aduan mengenai restoran masakan Thai dan mengerahkan 30 pegawai penguatkuasaan menjalankan Ops Tom Yam bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi tahap kebersihan serta amalan ditetapkan.

“Pemeriksaan dijalankan di lapan premis dan lima daripadanya yang beroperasi di Batu Berendam, Bachang, Peringgit dan Bukit Serindit diarahkan tutup kerana melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 14 hari, pengusaha diminta membersihkan premis mereka sebelum dibenarkan berniaga semula dan pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan susulan untuk memastikan premis tersebut benar-benar bersih.

“Dalam pemeriksaan dilakukan terhadap kelapan-lapan premis, sebanyak 13 notis kompaun berjumlah RM4,500 dikeluarkan kepada peniaga.

“Dua pek serbuk teh seberat dua kilogram dipercayai dicampur pewarna turut dirampas dalam pemeriksaan di sebuah premis di Bachang” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Sementara itu, Ghazali berkata, sehingga 17 September lalu sebanyak 158 operasi pemeriksaan premis makanan dijalankan jabatannya dan 16 operasi secara bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

No comments:

Post a Comment