Search This Blog

Loading...

Wednesday, September 7, 2016

Polis Kedah Selamat Sembilan Mangsa Pemerdagangan Manusia


Diterbitkan: Selasa, 6 September 2016 7:19 PM

Gambar sembilan lelaki warga asing berusia 22 hingga 45 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh satu sindiket. -fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Sembilan lelaki yang dipercayai menjadi mangsa culik dan pemerdagangan manusia diselamatkan dari sebuah rumah di Kampung Charok Keladi, Pendang awal pagi Selasa.

Mereka yang terdiri daripada lapan warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar yang berumur antara 22 hingga 45 tahun ditemukan dalam keadaan lemah, kelaparan serta dirantai pada kaki.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata penemuan pada pukul 1.30 pagi itu adalah susulan laporan kes penculikan ke atas enam warga Bangladesh di sebuah tapak pembinaan di Sungai Petani pada 29 Ogos lalu.

"Kesemua keluarga mangsa yang berada di Bangladesh telah menerima ugutan bahawa mangsa akan dibunuh sekiranya wang tebusan sebanyak RM15,000 setiap seorang dripada mereka tidak dibayar," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kesembilan mangsa itu dilapor telah diculik di Perak dan Kuala Lumpur.

Asri berkata susulan kes itu, empat lelaki tempatan serta masing-masing seorang lelaki Bangladesh dan Myanmar berumur antara 15 hingga 38 tahun yang disyaki terlibat telah ditahan.

Beliau berkata remaja berusia 15 tahun itu merupakan anak kepada seorang suspek berkenaan.

Dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kes culik sementara lelaki Bangladesh itu dipercayai menjadi orang tengah dalam urusan memeras ugut keluarga mangsa, katanya.

Sementara seorang lagi lelaki Bangladesh dan seorang wanita tempatan yang disyaki turut terlibat sedang dikesan.

Asri berkata pihaknya percaya berjaya melumpuhkan kumpulan melakukan aktiviti pemerasan ke atas warga asing di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur selama ini.

No comments:

Post a Comment