Search This Blog

Loading...

Friday, September 9, 2016

Perompak bakar rumah mangsa 'miskin'




RUMAH mangsa musnah dibakar dua lelaki di Permatang Badak.

myMetro
Kuantan: Berang selepas gagal menemui barang berharga, dua lelaki yang memecah masuk sebuah rumah nekad membakar kediaman itu sehingga pemiliknya gagal menyelamatkan harta-benda termasuk dokumen penting di Kampung Permatang Badak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.53 pagi, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30 tahun dipercayai menyalakan api lalu membakar bahagian ruang tamu rumah berkenaan sebelum bergegas melarikan diri dari lokasi kejadian tanpa menyedari perbuatan mereka disaksikan seorang penduduk kampung.

Sumber berkata, saksi itu yang kebetulan baru tiba di rumahnya terserempak kelibat dua lelaki mencurigakan masuk ke dalam rumah mangsa selama hampir setengah jam.

“Saksi itu yang tidak berani berbuat apa-apa terus menunggu tidak jauh dari rumah mangsa sebelum melihat kelibat dua lelaki terbabit bergegas melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa sama, lelaki itu melihat api secara tiba-tiba marak di bahagian tengah rumah sebelum memusnahkan keseluruhan rumah mangsa.

“Dia (saksi) kemudian menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun saksi kejadian itu gagal mengecam kedua-dua suspek berikutan keadaan persekitaran gelap.

Sementara itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali, ketika dihubungi, di sini, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kebakaran membabitkan rumah mangsa.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, di sini, dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bersama tiga jentera dan tanker turut bergegas ke lokasi untuk mengawal kebakaran bagi mengelak merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa hampir setengah jam untuk memadamkan api namun punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:59 AM

No comments:

Post a Comment