Search This Blog

Wednesday, September 7, 2016

Penganggur didakwa bunuh, cuba membunuh lima beranak


FADZLY IZAB  |  07 September 2016 3:41 PM
Bunuh

LUQMAN Hadi Mustapa, 25 (tengah) diiringi anggota polis selepas keluar dari Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan membunuh tiga sekeluarga dalam satu kejadian amuk di Kampung Bertam Malim , Melaka 25 Ogos lalu. - UTUSAN/AZLI AHAD
MELAKA 7 Sept. - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga beranak serta dua cubaan bunuh dua individu lain di Kampung Bertam Malim di sini pada 25 Ogos lalu.
Luqman Hadi Mustapa, 28, mengangguk faham bagi kelima-lima pertuduhan tersebut namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Norina Maludin.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Luqman Hadi didakwa membunuh Hassan A. Wahab, 70; isterinya, Mariah Baharin, 62, dan anak lelaki pasangan itu, Mohammad Taufeq, 22.


Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, pemuda itu didakwa dengan niat cuba membunuh dua lagi anak pasangan tersebut, Noor Hazlinda Diyana, 27, dan Nuraqedah Aeina, 24, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.


Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh antara pukul 5.50 pagi hingga pukul 6.15 pagi di dalam sebuah rumah di Kampung Bertam Malim pada 25 Ogos lalu.


Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Chee Thim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/penganggur-didakwa-bunuh-cuba-membunuh-lima-beranak-1.379710#sthash.r81BhDzr.dpuf

No comments:

Post a Comment