Search This Blog

Loading...

Friday, September 9, 2016

Pemilik spa didakwa tipu lebih RM7 juta


9 SEPTEMBER 2016
Mahkamah

Mahkamah
KUALA LUMPUR - Seorang pemilik spa hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu seorang eksekutif wanita sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhubung urusan pembelian tanah, membabitkan kerugian lebih RM7 juta.

Wong Kim Woon, 54, didakwa memperdaya Fu Qinglan, 40, warga China untuk membeli tanah di Lot 80782, Mukim Batu, Wilayah Persekutuan, sedangkan tertuduh mengetahui tanah itu adalah milik kerajaan persekutuan yang tidak dibuka untuk jualan sehingga Fu menyerahkan wang sebanyak RM7,100,618.45 kepadanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 80782, Jalan Metro Perdana Kepong, Metropolitan Park, di sini pada Jun 2011 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan
boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhd Ilmami Ahmad menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

"Jumlah jaminan itu tidak bersifat menghukum tetapi wajar dan memadai untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah," katanya.

Peguam Lim Yoi Ping, mewakili Wong pula berkata anak guamnya hanya mampu membayar wang ikat jamin sebanyak RM80,000 dan isteri tertuduh hadir ke mahkamah untuk menjadi penjamin.

"Tertuduh yang mempunyai tiga anak masih kecil, memerlukan rawatan selanjutnya untuk merawat penyakit kencing manis yang dihidapinya," kata peguam itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama empat hari bermula 9 Jan tahun depan selain menetapkan 7 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. - Bernama

No comments:

Post a Comment