Search This Blog

Loading...

Thursday, September 29, 2016

Pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine tembak MH17






SEORANG pegawai penyiasat dari Malaysia memeriksa serpihan pesawat MH17 berhampiran kampung Hrabove di Donetsk, Ukraine pada 22 Julai 2014. - REUTERS

NIEUWEGEIN, Belanda – Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine menggunakan sebuah peluru berpandu darat ke udara BUK buatan Rusia yang dilancarkan dari perkampungan dikuasai pemberontak pro-Moscow, kata pasukan pendakwa raya antarabangsa semalam.

Penemuan itu mencabar dakwaan Rusia bahawa pesawat milik Penerbangan Malaysia itu ditembak jatuh oleh tentera Ukraine pada Julai 2014 semasa dalam penerbangan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur.

Semua 298 penumpang dan kru pesawat jenis Boeing 777-200 itu terbunuh, kebanyakannya warga Belanda.

Pasukan pendakwa raya itu tidak boleh mengemukakan pendakwaan tetapi waris mangsa­ sebelum ini bertegas mahukan butiran terperinci tentang dalang yang menembak jatuh MH17 dengan harapan pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

Pasukan pendakwa raya itu yang dianggotai oleh Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine berkata, sistem peluru berpandu BUK bergerak itu me­lancarkan sebuah peluru berpandu dari kampung Pervomaysk sebelum kembali ke Rusia.

Mereka memberitahu satu sidang akhbar di bandar Nieuwegein, tengah Belanda bahawa pihaknya telah mengenal pasti 100 orang yang ingin disoal siasat berkaitan tragedi itu tetapi masih belum dikategorikan sebagai suspek.

“Masih tidak jelas sama ada arahan telah diberikan kepada pemberontak pro-Rusia supaya melancarkan peluru berpandu BUK atau mereka bertindak secara bebas,” kata pasukan pendakwa raya tersebut.

Siasatan awam oleh Lembaga Keselamatan Belanda turut merumuskan pada 2015 bahawa MH17 ditembak menggunakan peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari timur Ukraine tetapi Moscow berulang kali menafikan pembabitan pemberontak pro-Rusia.

Waris mangsa dimaklumkan tentang penemuan itu sejurus sebelum sidang akhbar pasukan pendakwa raya tersebut.

Kumpulan pemberontak pro-Rusia berperang menentang tentera Ukraine semasa tragedi itu berlaku pada 17 Julai, 2014.

Pesawat Boeing 777 itu berkecai di udara dengan sejumlah serpihan jatuh bertaburan sejauh beberapa kilometer di beberapa buah padang di wilayah yang dikuasai pemberontak pro-Rusia. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4LdGlitdx
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment