Search This Blog

Loading...

Wednesday, September 28, 2016

Pemandu lori maut ketika pulang kerja


MASTURAH SURADI
28 SEPTEMBER 2016
Pemandu lori maut ketika pulang kerja

Pemandu lori maut ketika pulang kerja Lori roti jenis Mitsubishi dipandu mangsa remuk selepas melanggar belakang sebuah lori pasir kosong di kilometer 63 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi berhampiran simpang Felda Pasak, petang semalam.
KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut selepas lori roti jenis Mitsubishi dipandu melanggar belakang sebuah lori pasir kosong di kilometer 63 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi berhampiran simpang Felda Pasak, petang semalam.

Mangsa, Zaid Abu Samah, 42 yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Felda Air Tawar 3 maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu dipercayai berlaku apabila lori pasir jenis Hino mahu membelok ke kanan sebelum dilanggar lori Mitsubishi tersebut.

"Lori pasir tersebut telah berhenti dan memberi lampu isyarat bertujuan membelok ke kanan untuk memasuki simpang Felda Pasak tiba-tiba telah dilanggar oleh lori Mitsubishi yang datang dari arah belakang.

"Akibat dari kemalangan itu, pemandu lori Mitsubishi telah mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Lori dipandu mangsa juga mengalami kerosakan remuk di bahagian hadapan pemandu," katanya.

Tambah Rahmat, pemandu lori pasir, Noor Adzmi Isa, 41 beralamat di Felda Pasak hanya mengalami cedera ringan.

Katanya, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan dua hala lurus dan mempunyai garisan putih putus-putus menghala ke Kota Tinggi serta terdapat garisan lurus memanjang menghala ke Sungai Rengit sebagai pembahagi jalan.

"Keadaan permukaan jalan kering, cuaca baik ketika kejadian berlaku manakala kawasan persekitaran merupakan ladang kelapa sawit.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment