Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 6, 2016

'Pelanggan' acu parang



DR AB Rahman (tengah) menunjukkan parang yang dirampas.

Kota Bharu: Menyamar sebagai pelanggan yang mahu membeli rokok dan air sebelum mengeluarkan sebilah parang panjang serta golok dan mengacukannya kepada pemilik kedai runcit yang hendak menutup operasi.

Taktik itu digunakan seorang lelaki berusia 26 tahun yang cuba menyamun kedai berkenaan di Kampung Banggol Telaga Gajah, Pantai Cahaya Bulan, di sini, tengah malam Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tindakannya gagal apabila dia ditahan dengan bantuan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, kepekaan masyarakat dan ketangkasan pasukan peronda membolehkan jenayah samun dikekang tepat pada masanya.

“Ketika kejadian, bilik gerakan menerima panggilan pada 12.59 tengah malam daripada orang awam dan sepasukan peronda polis (MPV) segera ke lokasi.

“Suspek ditahan bersama parang sepanjang 20 sentimeter (sm) dan golok 12 sm.

“Dia direman sehingga 8 September untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, suspek dipercayai melakukannya bersama seorang lelaki yang menunggu dalam kereta Myvi.

“Rakannya melarikan diri selepas melihat kelibat pihak berkuasa dan usaha memburunya sedang dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ab Rahman berkata, seorang lelaki ditahan di Kampung Hutan Buloh Melor, di sini kerana memiliki pistol angin, alat renjatan elektrik buatan sendiri yang dibalut pelekat hitam, selain pisau lipat serbaguna.

Dia ditahan 31 Ogos lalu dalam pasukan ronda cegah jenayah selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 11:26 AM

No comments:

Post a Comment