Search This Blog

Tuesday, September 6, 2016

Peladang samseng


AFP
Jakarta: Tujuh pegawai alam sekitar yang menyiasat kebakaran hutan di Sumatera dijadikan tawanan dan diancam sekumpulan samseng dipercayai pekerja syarikat peladangan, kata Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan.

Pasukan penyiasat berkenaan dihantar ke wilayah Riau yang terjejas teruk dengan aktiviti kebakaran hutan yang menjadi punca jerebu di rantau ini hampir setiap tahun.

Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia memberitahu, pasukan itu tiba di ladang milik syarikat Andika Permata Sawit Lestari (APSL) yang disyaki membersihkan hutan secara haram menggunakan api.

Ketika pasukan itu meninggalkan ladang kelapa sawit berkenaan pada Jumaat lalu, mereka ditahan sekumpulan 100 lelaki yang mendesak gambar yang dirakam pegawai itu dipadamkan.

Tujuh pegawai itu ditahan di kawasan itu selama 12 jam.

Sepanjang kejadian kumpulan samseng berkenaan mengancam memukul mereka hingga mati sebelum mencampak mayat mereka ke dalam sungai.

Pegawai penyiasat itu akhirnya dibebaskan selepas seorang ketua polis dan sekumpulan pegawai tempatan campur tangan.

Menteri Alam Sekitar, Siti Nurbaya Bakar percaya kumpulan samseng berkenaan pekerja syarikat perladangan itu.

“Kami sangat yakin aktiviti haram yang berlaku di kawasan itu dilakukan syarikat berkenaan.

“Kami mengutuk kejadian tujuh pegawai kami yang ditahan ini dan akan menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap syarikat itu,” jelasnya.

Menurutnya, gambar dirakam pasukan itu dipadamkan tetapi imej yang dirakam dron dari udara masih selamat dan menjadi bukti aktiviti pembakaran hutan berlaku di kawasan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 10:39 AM

No comments:

Post a Comment