Search This Blog

Loading...

Saturday, September 10, 2016

Op Bersepadu kesan warga asing pandu teksi


NAZWIN NAZRI  |  09 September 2016 10:11 PM

SPAD

Anggota penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang memeriksa tiket salah seorang penumpang bas ekspress dalam satu operasi SPAD di terminal bas Jalan Duta, di sini hari ini. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Sebanyak 13 kesalahan direkodkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam operasi pertama Op Bersepadu Hari Raya Aidiladha di lima lokasi sekitar ibu negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Operasi yang dilakukan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Hentian Pudu, Hentian Duta, KLIA dan Bukit Bintang itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pukul 8 pagi sehingga 7 malam.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, sepanjang operasi itu sembilan kesalahan direkodkan oleh pemandu teksi iaitu tiga melibatkan pemandu warga asing manakala dua individu gagal mengemukakan lesen pengendali dan selebihnya kad pemandu tamat tempoh.
Ujarnya, tiga pemandu warga asing itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen manakala teksi akan disita dan syarikat pengendali akan dikompaun selain membatalkan lesen memandu ke atas pemandu yang membenarkan warga asing membawa kenderaan mereka.
"Tiga lagi kesalahan melibatkan kaunter jualan tiket yang mana dua kaunter tidak mempunyai surat lantikan agen dan satu menyediakan tiket tidak bercetak.
"Selain itu, kita juga mendapati terdapat bas yang mengambil penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.
"Kesemua kesalahan itu dikesan dalam 131 pemeriksaan yang melibatkan 57 buah teksi, 46 buah bas dan 28 kaunter yang diperiksa sepanjang tempoh 11 jam operasi dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di Hentian Duta, di sini hari ini.
Menurut Che Hasni, operasi bersepadu itu akan berterusan sehingga 18 September ini dan dilancarkan sempena musim perayaan.
Beliau memberitahu, semua kes disiasat dan akan dituduh di bawah Seksyen 22 (3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam pada itu, beliau menggesa supaya syarikat-syarikat bas mematuhi arahan mengeluarkan tiket bercetak kepada penumpang berikutan terdapat seorang wanita yang terkandas kerana tidak mempunyai tiket perjalanan yang sah.
"Kita mendapati tiket yang dipegangnya bertulis tangan dan selepas melakukan pemeriksaan, pihak kaunter bukan sahaja menafikan penjualan tiket berkenaan malah menyatakan tidak mengetahui mengenai pembelian tersebut," jelasnya.
Che Hasni memberitahu, pihaknya tidak dapat mengambil tindakan lanjut kerana pembeli juga tidak dapat memberi butiran pembelian serta menyatakan individu yang menjual tiket berkenaan. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/op-bersepadu-kesan-warga-asing-pandu-teksi-1.380792#sthash.kgguWYkd.dpuf

No comments:

Post a Comment