Search This Blog

Tuesday, September 6, 2016

Lima ahli geng curi motosikal ditangkap


06 September 2016 12:23 AM
Noor Hashim Mohamad (tengah) dalam sidang akhbar berhubung kes

Noor Hashim Mohamad (tengah) dalam sidang akhbar berhubung kes tangkapan lima ahli Geng Jasa 2 di Iskandar Puteri, Johor Bahru, semalam. UtusAN/NUR AISYAH MAZALAN
ISKANDAR PUTERI 5 Sept. – Polis menahan lima ahli Geng Jasa 2 dipercayai aktif melakukan jenayah curi motosikal sejak dua tahun lalu dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Skudai, Johor Bahru pada Khamis lalu.
Ketua Polis daerah, Superintenden Noor Hashim Mohamad berkata, serbuan pertama pukul 6.20 pagi di sebuah rumah di Jalan Harmoni, Taman Desa Skudai dilakukan sejurus menerima maklumat berhubung kejadian kecurian motosikal.
Beliau berkata, sewaktu serbuan dilakukan, suspek dipercayai cuba melarikan diri namun gagal sebelum polis berjaya menahan empat lelaki dalam rumah berkenaan.
“Susulan penahanan itu, kita telah melakukan serbuan kedua dan berjaya menahan seorang lagi rakan suspek di Jalan Bakti, Taman Mutiara Rini, dekat Skudai.
“Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 29 tahun dan ujian air kencing mendapati kesemua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Noor Hashim berkata, berikutan penahanan semua suspek, polis berjaya merampas sebuah motosikal Honda yang dilaporkan hilang di daerah ini, dua buah rangka motosikal serta pelbagai alat ganti motosikal dipercayai hasil jenayah berkenaan.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan kira-kira 20 kes curi motosikal di sekitar daerah ini.
Sementara itu, seorang pembantu jururawat yang bekerja di Singapura dipercayai menjadi mangsa rogol kenalannya sendiri dalam kejadian di sebuah hotel bajet di Taman Tan Sri Yaacob, di sini Ahad lalu.
Noor Hashim berkata, sebelum kejadian pukul 3 petang, mangsa berusia 26 tahun dan berasal dari Sarawak bersama rakan-rakannya meluangkan masa bersama-sama di sebuah rumah di Skudai, Johor Bahru.
Beliau berkata, setelah selesai pertemuan itu, salah seorang daripada mereka menghantar wanita tersebut pulang ke rumahnya di Taman Nusa Bestari di sini.
“Sejurus tiba di rumah, mangsa telah didatangi rakan kenalannya yang lain untuk mengajaknya keluar sekali lagi.
“Suspek telah membawa mangsa ke sebuah hotel bajet di Taman Tan Sri Yaacob sebelum merogol mangsa. Mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah oleh suspek,” katanya.
Noor Hashim berkata, mangsa kemudian membuat satu laporan polis pada hari kejadian sebelum polis memberkas suspek berusia 29 tahun pukul 11 malam hari yang sama di rumahnya di Taman Selesa Jaya, Skudai.
Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lima-ahli-geng-curi-motosikal-ditangkap-1.379126#sthash.hBZVEJJH.dpuf

No comments:

Post a Comment