Search This Blog

Sunday, September 4, 2016

Lepas gian di hotel bajet



ANTARA alat menagih dadah yang ditemui dalam operasi di hotel bajet di ibu negara tahun ini.

Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hotel bajet lazimnya dikaitkan dengan kes tangkapan khalwat membabitkan pasangan kekasih terutama pada hari tertentu seperti Ambang Merdeka dan Hari Kekasih, tapi kini premis itu turut dijadikan ‘port’ oleh golongan penagih dadah bagi melepaskan gian dan menganjurkan pesta dadah.

Dengan bayaran penginapan serendah RM40 semalam, mereka tidak peduli lagi mengenai keselesaan serta keadaan bilik yang berbau asalkan dapat melepaskan ketagihan dadah.

Port lama seperti rumah tinggal, kawasan belukar dan bawah jambatan mungkin masih ada, namun peralihan ke bilik di hotel bajet dirasakan lebih selesa dan terlindung daripada pandangan orang ramai.

Tidak hairanlah apabila serbuan dijalankan pihak berkuasa ke atas premis hotel bajet pasti menemui individu atau kumpulan yang lalok menjalankan aktiviti penagihan.

Dalam operasi dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat di sekitar Kajang baru-baru ini, seramai enam individu termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti dadah di dalam bilik hotel.

Serbuan bermula jam 11 malam hingga 4 pagi itu dijalankan bersama agensi lain termasuk Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat dan Jabatan Imigresen (JIM).

Pada asalnya, pemeriksaan ke bilik hotel berkenaan adalah untuk mengesan pasangan berkhalwat.

Ketua Pegawai AADK Hulu Langat Muhammad Ramlan Syed Ahmad berkata, daripada enam individu yang ditahan seorang adalah janda anak satu.

Menurutnya, dalam tangkapan pertama di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Raja Harun, Kajang, tiga lelaki ditahan selepas mendapati wujud aktiviti penagihan dadah di dalam bilik sewa mereka.

“Sebaik pintu bilik dibuka, mereka tidak dapat lagi menyorok aktiviti daripada pengetahuan pihak kami apabila keseluruhan bilik itu dipenuhi asap dipercayai daripada dadah jenis ganja.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik mendapati tiga lelaki terbabit menginap bersama janda beranak lima. Wanita berusia 40-an itu kemudian ditahan pihak PAID kerana berkhalwat,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas tiga suspek berusia 20 hingga 30-an itu mengesahkan mereka positif dadah jenis ganja dan syabu.

“Hasil soal siasat dijalankan ke atas lelaki terbabit mereka mengaku memperoleh dadah di sekitar kawasan Kajang.

“Pihak kami dimaklumkan, golongan penagih terbabit kini memilih hotel bajet kerana ia lebih privasi ,” katanya.

Muhammad Ramlan berkata, dalam satu lagi serbuan ke atas hotel bajet di kawasan Balakong, pihaknya berjaya menahan pasangan kekasih berusia 20-an.

Menurutnya, ketika ditahan turut berada di dalam bilik berkenaan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun anak hasil perkongsian perkahwinan wanita terbabit sebelum ini.

“Wanita itu mendakwa dia mengambil dadah syabu untuk mengurangkan tekanan perasaan yang sering dialaminya.

“Hasil saringan ujian air kencing mengesahkan kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu. Semua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:08 AM

No comments:

Post a Comment