Search This Blog

Monday, September 5, 2016

Lelaki pelupa mati terbakar


BERNAMA
Tapah: Seorang lelaki yang mempunyai masalah pelupa meninggal dunia selepas lebih 60 peratus badannya terbakar dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Gajah di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai S Arumugam, 44, juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan kencing manis yang kronik.

Katanya kebakaran pada kira-kira 8.30 pagi itu bermula di dapur selepas mangsa yang bersendirian di rumah, dikatakan terlupa menutup api dapur gas selepas memasak.

"Mangsa dipercayai cuba lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri kerana kita menemui mayatnya di luar rumah dan ketika itu isteri serta anak mangsa keluar ke pekan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, R Balaratnam berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 8.32 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan hutan kelapa sawit.

"Setiba di lokasi kejadian, kebakaran rumah berkenaan sudah terpadam dan hanya tinggal bara-bara api.

"Rumah hampir musnah sepenuhnya dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 9:06 PM

No comments:

Post a Comment