Search This Blog

Loading...

Thursday, September 29, 2016

Lelaki maut dirempuh treler


NORFARHIZA MOHD ATAR
29 SEPTEMBER 2016
Lelaki maut dirempuh treler

Lelaki maut dirempuh treler Mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat dilanggar treler berkenaan. Gambar kecil: Azhar
MERAPOH - Perjalanan pulang seorang lelaki dari kedai ke rumahnya berakhir dengan tragedi apabila dia maut dirempuh treler dalam kejadian langgar lari kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, mangsa, Azhar Hussin, 49, dipercayai menunggang motosikal jenis EX5 bersendirian dari arah Lipis menghala ke Merapoh.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian di Kilometer 96, Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Mentara Baru, motosikal yang ditunggang mangsa dirempuh kenderaan berat berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa melalui satu selekoh sebelum cuba memasuki simpang kanan untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Kampung Mentara Baru.

“Namun motosikal mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah treler dan mengheret mangsa serta kenderaannya sejauh tujuh meter,” katanya di sini, semalam.

Azry berkata, pemandu lori terbabit kemudiannya bertindak melarikan diri dan pihak polis masih mengesan pemandu berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala, badan dan kaki maut serta merta di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mentara Baru.

“Kita masih mengesan pemandu treler plat WVM, nombor tidak dapat dipastikan, kepala treler berwarna merah dan badan berwarna hijau yang ditutupi kanvas hitam.

“Treler berkenaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan bucu sebelah kiri akibat pelanggaran berkenaan,” katanya.

Azry berkata, orang ramai yang mengenal pasti lori terbabit diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Menurutnya, saksi kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nafis Nazaruddin menerusi talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment