Search This Blog

Sunday, September 4, 2016

Lelaki ditemui mati dengan 12 kesan luka



Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


Kinabatangan: Seorang pekerja ladang sawit ditemui mati dengan 12 kesan luka dipercayai akibat ditetak di perumahan Ladang Permodalan 1, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.18 malam, Carlito Bigno, 26, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka disyaki akibat tetakan pada tengkuk, kepala, belakang badan, bahu kiri dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki berhubung penemuan mayat mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, berdasarkan keterangan seorang wanita yang juga jiran mangsa, sebelum kejadian, dia ada mendengar jeritan meminta tolong.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu tidak melihat sebarang pergaduhan berlaku tetapi ternampak seorang lelaki berlari sambil memegang parang.

“Wanita itu yang ketakutan mengambil keputusan untuk bersembunyi. Penghuni yang lain kemudian membuat laporan polis.

“Pihak kami menahan seorang suspek lelaki berusia 23 tahun pada jam 12.40 tengah malam.

“Suspek berkenaan merupakan adik ipar mangsa. Dia ditahan di perumahan Ladang Permodalan 4,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek, polis menemui senjata disyaki digunakan adik ipar mangsa dalam kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:24 AM

No comments:

Post a Comment