Search This Blog

Tuesday, September 6, 2016

Ledakan Zika di Singapura membimbangkan Asia






REUTERS - SEORANG pekerja kesihatan memeriksa longkang di sebuah kawasan perumahan di Singapura pada Jumaat lalu.

SINGAPURA – Kes jangkitan Zika di Singapura meledak daripada sifar kepada 242 dalam tempoh seminggu sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan situasi serupa melanda Asia, lapor portal berita CNN semalam.

Satu kajian baru-baru ini menganggarkan kira-kira 2.6 bilion penduduk di Benua Asia dan Afrika berisiko dijangkiti virus Zika yang dikaitkan dengan kecacatan otak bayi atau sindrom mikrosefali.

Setakat ini, punca Zika merebak dengan begitu mendadak di Singapura masih belum diketahui. Kebanyakan kes yang dikesan pula melibatkan kes tempatan yang disebarkan oleh nyamuk Aedes aegypti.

Pada Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan Singapura menyatakan, analisis ke atas dua kes mendapati jangkitan di pulau itu melibatkan virus Zika yang telah tersebar di rantau Asia Tenggara.

Singapura bukan satu-satunya negara di Asia yang melaporkan kes Zika.

Selain pulau itu, Thailand juga menyaksikan jangkitan meluas Zika sejak tiga bulan lalu, demikian menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

Singapura yang mempunyai kira-kira 5.7 juta penduduk dengan kebanyakannya tinggal di kawasan bandar dianggap bukan kawasan yang akan mengalami wabak Zika.

Namun, kepadatan penduduk yang tinggi dan iklim panas lembap menjadikannya sesuai untuk nyamuk Aedes membiak. Ciri tersebut turut dikongsi oleh bandar raya lain di Asia.

“Di Asia, terdapat bandar-bandar besar yang mempunyai antara lima hingga 10 juta penduduk. Nyamuk Aedes aegypti mudah membiak di persekitaran bandar yang padat dengan penduduk,” kata Timbalan Pengarah Penyakit Berjangkit Baharu Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura, Eng Eong.

– Agensi



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4JQchpTUU
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment