Search This Blog

Loading...

Tuesday, September 27, 2016

Kereta Tukang Jahit Langgar Kereta Morais


Diterbitkan: Selasa, 27 September 2016 5:44 PM

Kesemua tertuduh dibawa melihat barang kes iaitu sebuah kereta pacuan empat roda, tong drum dan simen pada perbicaraan kes pembunuhan Kevin Morais di Mahkamah Tinggi, 20 September lalu. fotoBERNAMA
   (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang tukang jahit wanita memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa kenderaan pacuan empat rodanya digunakan untuk melanggar kereta Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, yang mayatnya disumbat di dalam guni dan disimen di dalam tong dram di Subang Jaya tahun lepas.

S.Yogeswari, 37, berkata kenderaan Mitsubishi Triton berwarna hitam dengan nombor pendaftaran PEP 1135 adalah miliknya namun, ia digunakan oleh seorang lelaki bernama Rajendran iaitu suami bekas pekerjanya.

Yogeswari berkata beliau memiliki dua kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Perodua Kembara tetapi beliau hanya menggunakan Kembara manakala Triton digunakan Rajendran.

Saksi ke-37 itu memberitahu demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan kes bunuh itu yang masuk hari ke-25 pada Selasa.

Bagaimanapun, wanita itu berkata sekitar Ogos hingga September tahun lepas, beliau menyerahkan kenderaan itu kepada seorang lelaki bernama Selvam, yang baharu dikenalinya selama tiga minggu, untuk dijual.

Yogeswari berkata sepanjang 2 Ogos sehingga 11 September, kenderaan itu tidak ada bersamanya tetapi berada di dalam kawalan Selvam.

Kepada soalan Saiful Edris mengapa beliau mahu menjual kenderaan itu, Yogeswari berkata beliau berbuat demikian kerana berhutang dengan Selvam sebanyak RM4,000 dan mahu menyelesaikan hutang itu.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas peguam V.Rajehgopal yang mewakili tertuduh ketujuh, S.Ravi Chandaran dan tertuduh keenam, S.Nimalan, Yogeswari berkata sekitar 2 Ogos hingga 11 September 2015, Selvam mengambil kenderaan itu pada setiap hari untuk dijual dan mengembalikan semula kepadanya pada waktu malam.

Saiful Edris kemudian memohon mahkamah untuk mencabar kredibiliti saksi itu berikutan keterangannya yang bercanggah mengenai lokasi kenderaan pada 2 Ogos sehingga 11 September 2015.

Terdahulu ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee, Pegawai Operasi Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman ASP Ahmad Zamri Jai berkata beliau telah menahan tertuduh pertama Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 53, di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada 15 September 2015.

Ahmad Zamri berkata beliau turut merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad pengenalan tentera daripada tertuduh sebelum membawanya ke Balai Polis Kepong di sini.

Enam lelaki iaitu G. Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, Nimalan, 23, dan Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kolonel Dr Kunaseegaran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada Rabu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment