Search This Blog

Monday, September 5, 2016

Kereta bawa lembu curi terbabas ke sungai

ISNIN, 5 SEPTEMBER 2016 @ 7:55 PM

Oleh Nur Izzati Mohamad bhnews@bh.com.my

 SEORANG lelaki ditahan selepas kereta membawa seekor lembu yang dipercayai baharu dicuri, terbabas ke sungai ketika dikejar polis awal pagi tadi.

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki ditahan selepas kereta yang digunakannya untuk membawa seekor lembu yang dipercayai baharu dicuri, terbabas ke sungai ketika dikejar polis awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi di kawasan berdekatan Padang Chempedak, di sini, dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis bertugas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam, berkata anggota yang curiga dengan gerak-geri suspek mengarahkan mereka memberhentikan kereta untuk tujuan pemeriksaan, namun pemandunya enggan bekerjasama dan cuba mengelak. "Kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun gagal mengawal kereta sebelum kenderaan itu terbabas dan terjunam ke sungai.

 "Seorang daripada suspek yang berusia 18 tahun ditahan di lokasi kejadian, manakala rakannya pula sempat melarikan diri," katanya.

 Azmi berkata, pemeriksaan awal di lokasi menemui seekor lembu yang sudah mati. "Hingga kini punca sebenar lembu terbabit berada di dalam kereta berkenaan masih disiasat dan polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek berkenaan adalah pencuri lembu.

"Hingga kini polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu yang melaporkan mengenai kehilangan lembu dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/190024

No comments:

Post a Comment