Search This Blog

Loading...

Friday, September 9, 2016

Kempunan rumah baru



KEADAAN rumah Amin yang musnah dalam kebakaran.

Zul Ikhwan Muhammad
am@hmetro.com.my


Endau: “Dua minggu lalu, arwah teruja hendak masuk meninjau rumah barunya yang disumbangkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), tapi dalam masa sama dia berkata, mungkin tidak sempat tinggal di rumah itu,” kata Noryana Ahmad, 36, menantu kepada Amin Awang, 88, yang ditemui rentung di dalam rumahnya yang terbakar di Kampung Teriang Tengah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi, mayat Amin yang juga bekas bilal di Masjid Jamek Teriang Besar di sini, ditemui anggota bomba dan penyelamat dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri.

Menurut Noryana yang tinggal bersebelahan, ketika kejadian, mentuanya bersendirian kerana anaknya Sahran, 43, yang tinggal bersama keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Resang.

“Kira-kira jam 2.30 pagi, saya bangun untuk membuat susu anak, namun tiada sebarang tanda kebakaran berlaku sehingga setengah jam kemudian apabila kami sekeluarga dikejutkan jiran yang menyatakan bapa terperangkap dalam kebakaran.

“Dalam keadaan kelam-kabut, saya membawa keluar tiga anak berusia antara dua bulan dan 17 tahun kerana api mula menyambar rumah kami, manakala jiran cuba membantu memadam api namun tidak berhasil kerana keseluruhan rumah bapa mentua hangus dijilat api,” katanya.

Noryana berkata, dia sekeluarga sangat sedih dan terkilan kerana hasrat arwah untuk merasai nikmat tinggal di rumah baru hujung tahun ini tidak kesampaian dan memberitahu sering mengajak mangsa tinggal bersamanya namun arwah berkeras menolak pelawaan itu.

“Masih terngiang-ngiang kata-kata akhir arwah bapa mentua yang berhasrat benar mahu masuk meninjau keadaan rumah baru kerana dia berasakan umurnya tidak panjang dan tidak sempat tinggal di rumah itu,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, jiran mangsa, Fatimah Muda, 65, berkata, ketika kejadian, dia belum tidur dan terdengar jeritan mangsa meminta tolong.

Selepas meninjau dari tingkap, Fatimah mendapati hampir keseluruhan rumah mangsa dijilat api lalu bergegas ke luar rumah mengejutkan jiran dan keluarga mangsa yang tinggal bersebelahan untuk meminta bantuan menyelamatkan warga emas berkenaan.

“Saya menjerit mengejutkan ahli keluarga dan jiran supaya menyelamatkan Amin selepas mendengar dia meminta tolong, tetapi ketika itu api terlalu besar menyebabkan usaha jiran gagal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Penolong Penguasa Bomba, Alias Husin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.09 pagi.

“Sebaik tiba, sebahagian besar rumah dijilat api, mayat mangsa ditemui di bahagian ruang tamu dipercayai cuba menyelamatkan diri dan operasi ditamatkan jam 6.06 pagi dan pihak kami masih menyiasat punca dan jumlah kerugian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:46 AM

No comments:

Post a Comment